BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, July 6, 2009

Pengembaraan dalam perjuangan

Pesan Ayah " jangan terlalu sibuk dengan hal persatuan, nanti tak terkejar akademik tu"

Pesan Ibu " Yelah anak ibu ni asyik sibuk je. Lupa dah semua benda"

Itulah kata-kata nasihat yang sering ibu dan ayah berikan setiap kali saya menghantar khabar berita kepada mereka. Nasihat itu saya jadikan sebagai satu dorongan dan peringatan bahawa sesibuk mana pun saya, keutamaan sebagai mahasiswa masih dalam keadaan terkawal.Seperti biasa, hati ibu dan ayah ni sebenarnya risau akan keadaan anak mereka.

Minggu ini merupakan minggu yang padat bagi saya. Ini berikutan banyak perkara yang harus saya selesaikan sebelum melepaskan amanah yang hampir dua tahun saya pegang. Rasa berat di hati untuk melepaskannya kerana tugas itu sudah sebati dengan diri saya. Mohon maaf kepada teman-teman jika selama khidmat saya, saya gagal memberikan yang terbaik untuk kalian. Berbincang bersama teman-teman kemana halatuju saya dalam gerakan selepas ini, tiba-tiba saya mengalirkan air mata. Mungkin kerana saya terasa kehilangan dan khuatir saat manis bersama tidak lagi saya rasai untuk akan datang. Namun hati saya tetap bersama mereka walaupun bukan sebagai rakan kerja dan saya tetap membantu apa yang diperlukan.

Pesan mentor " tidak bererti ketiadaan saya dalam gerak kerja, bermakna saya tidak berfungsi namun sebenarnya masih banyak lagi peluang malahan ada kerja untuk kamu"

Saya cuba memahami apa yang hendak disampaikan. Terdetik sesuatu dihati " harap-harap apa yang saya fikirkan bukan apa yang dimaksudkan" Tanpa dirisik dan dipinang, saya mendapat satu "tawaran" baru iaitu membantu Dr. Kecil dalam gerak kerja yang lain. Pada hari yang sama juga, saya diminta memberi jawapan kepada tawaran tersebut. Hanya berfikir tidak sampai 10 minit, saya memberi kata putus.

Teringat kata-kata kak Raudhah, " Kalau kita asyik memikirkan yang kita ini masih belum layak,masih baru, itu...ini.. dan bermacam lagi alasan, bila masanya lagi untuk kita menyahut amanah itu". Benar juga akan kata-kata itu. Atas pertimbangan dan keperluan, saya menerima tawaran tersebut. Kata saya : saya tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak. Insyallah saya akan membantu sebaik mungkin.

Itulah perjuangan. Perjuangan tiada penghujungnya. Selagi mana kita diperlukan, maka selama itulah kita perlu bersama membanting tulang dalam melahirkan generasi yang masih mencari evolusi ke arah pembudayaan ad-din. Itulah selemah-lemah pertolongan yang mampu saya berikan kepada sahabat-sahabat yang lain. Fungsi saya sebagai khalifah di muka bumi masih belum cukup untuk menutup lompong-lompong yang ada. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah, sirah para sahabat nabi, sirah pejuang islam, sebenarnya perlantikan mereka sebagai pemimpin dan pemegang amanah bukanlah sesuatu yang mudah. Namun sejarah membuktikan mereka mampu membimbing manusia daripada cahaya kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.

Buat saf pimpinan baru, selamat datang saya ucapkan. Jangan jadikan amanah yang diberikan sebagai satu beban buat kalian. Jadikan ia sebagai teman harian kalian dalam menjalani satu lagi perjalanan yang menyeru ke arah kebaikan.

0 comments:

Post a Comment