BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 13, 2009

Hadirkanlah Nilai Itu

Seawal pagi hari ini, saya bersama aktivis Hamka keluar menuju ke Shah Alam bagi urusan persediaan untuk ke indonesia. Saya mohon maaf kepada teman sekuliah kerana tidak dapat menyertai kalian berkunjung ke Pameran Seni Kraf pada hari ini..Jika saya mampu membahagikan diri saya kepada dua, nescaya saya akan lakukannya..

Selesai urusan lewat jam 4 petang. Tiba sahaja di rumah, saya sempat membuka ruangan blog rakan-rakan dan tertumpu kepada blog Dr.Kecil. Kenapa tiba-tiba namuku di sebut di entry terbarunya?Lebih dahsyat lagi di tangga pertama..Tertanya-tanyalah juga empunya diri ini. Teringat satu peristiwa bersamanya " Jun bukalah blog akak, akak dah tag nama jun untuk program 1 bulan 1 adab daripada GPTD". Rupanya Dr.Kecil menyeru diriku untuk menyokong program tersebut.

Kami sering menghabiskan masa bersama dan setiap pertemuan itu sentiasa di isi dengan isu yang menyentuh tentang adab. Kadangkala bersungut di hati kami bilamana ditemukan dengan mereka yang kurang menjadikan adab sebagai nilai murni dalam hidup. Mengapa saya berkata begitu?

Peristiwa 1 : Seorang pelajar ingin membuang sampah, kemudian datang seorang tukang cuci " makcik cleaner" membukakan tong sampah untuknya. Bukan ucapan terima kasih yang diberikan apatah lagi sedikit senyuman pun tidak di lontarkan kepada makcik tersebut.Pelajar itu lalu begitu saja.

Peristiwa 2 : Sampah di buang dari tingkat atas lalu bersepah di bawah. Keesokan harinya tugas siapa yang harus mengemasnya? Tanpa rasa bersalah dan belas kasihan.

Peristiwa 3: Apabila tiba di rumah, selipar yang diguna dicampak begitu sahaja tanpa memikirkan mereka yang membantu mengemas rumah.

Peristiwa 4 : Masuk ke rumah tanpa memberi salam kemudian pintu di hempas sekuat hati sehingga mengganggu teman yang sedang berehat

Ini adalah beberapa peristiwa yang berlaku di depan saya yang sedikit sebanyak memperkatakan di mana adab seorang manusia yang dikurniakan akal? Adakah kerana mereka merasakan diri mereka lebih hebat dari Pencipta sehingga lupa untuk mengucapkan rasa syukur.

Saya sempat menegur sahabat saya yang ketika itu sedang memakan gula-gula kemudian membuang plastik gula-gula tersebut ke lantai.

"Kenapa buang kat lantai..simpanlah dulu..nanti dah jumpa tong sampah baru kamu buang" tegur saya.

" Alah 'makcik cleaner' kan ada. Biarlah dia kemaskan nanti" jawabnya.

Lantas saya meninggikan suara " Cuba bayangkan kalau 'makcik cleaner' itu adalah ibu kamu, saudara mara kamu, orang yang kamu sayang, kamu sanggup tak mereka di perlakukan begitu?'

" Alah itu dah memang tugas mereka. Nanti mereka nak buat apa kalau semua benda kita dah buat", jawabnya tidak mahu mengalah.

" Saya tak suka orang yang berfikiran seperti kamu. Mereka juga manusia. Kita tak rasa kepenatan mereka. Sekurang-kurangnya ringankanlah beban mereka" jawab saya tegas.

Lantas dia mengambil semula plastik gula-gula tersebut dan di masukkan ke dalam beg. Saya menarik nafaz lega. Saya sedih melihat " makcik cleaner" diperlakukan sebegitu. Tugas mereka benar-benar dilihat sebagai tugas yang ringan malahan mereka benar-benar diperlakukan seperti orang gaji setiap hari. Jika kita tidak mahu mengucapkan rasa terima kasih ataupun membalas senyuman mereka sekurang-kurangnya kita hormatilah mereka sebagai orang yang lebih tua. Fikirkanlah tentang diri mereka yang seharian bekerja untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

Saya sering melihat "makcik cleaner" berehat di tangga dengan keadaan yang penat dan lesu. Di saat itu mereka masih mampu melontarkan senyuman ke arah saya. Jadi saya merasakan tidak salah jika kita pun turut sama menyambut mesra mereka. Kadangkala senyuman itu juga mampu merawat kepenatan yang di alami. Saya menaiki tangga menuju ke rumah.. Terlintas wajah ibu difikiran saya dan masih terngiang soalan yang ibu tujukan suatu ketika dulu.

Kami keluar bersama. Ibu memandang tepat ke arah " makcik cleaner" yang sedang menyapu. Tanya ibu, " nanti kalau jun dah besar dan dah berjaya, jun nak bagi tak ibu kerja macam tu". Saya terkedu dengan soalan ibu. Entah apa yang terlintas di fikirannya sehingga dia bertanya begitu. Saya senyap. Bukan tiada jawapan tetapi saya tidak tahu adakah jawapan itu boleh memuaskan hatinya. Jauh di sudut hati saya, tidak mahu ibu bekerja seperti itu.Bukan kerana itu merupakan pekerjaan yang hina tetapi saya tidak mahu ibu di perlakukan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan tidak beradab.

Buat pembaca, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan fikirkan hati dan perasaan orang lain. Jika kita tidak mampu membalas kebaikan orang terhadap kita, sekurang-kurangnya hadirkanlah rasa untuk menghormati dan menghargai mereka. Bukan hanya untuk "makcik cleaner" tetapi kepada semua yang berhampiran dengan kita.

Skop adab ini sangat luas untuk diperbincangkan. Entry saya ini bukan semata-mata untuk menyahut seruan Dr. Kecil tetapi merupakan satu perkongsian yang ingin dibawa kepada pembaca sebagai renungan untuk difikirkan bersama. Moga kita sama-sama dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik

0 comments:

Post a Comment