Fenomena cantik plastik sudah tidak asing lagi di kalangan wanita yang sangat obses dengan kecantikan. Bermula dari susuk, botox, suntikan vitamin dan bermacam-macam bahan yang boleh menonjolkan kecantikan kini sangat di gilai di kalangan wanita. Lebih membimbangkan mereka sanggup menghabiskan beribu ringgit gara-gara untuk kelihatan cantik.
Si suami pula berbangga dengan kecantikan si isteri. Tanpa disedari pipi yang di kucup rupa-rupanya hanyalah kecantikan yang sudah dikais aslinya. Sesungguhnya ALLAH itu Cantik dan sangat suka akan kecantikan. Namun disebabkan kita sering alpa dan leka, kita jarang memikirkan kecantikan yang bagaimana sangat ALLAH sukai. Adakah kecantikan yang di ubah ciptaanNya?
Firman Allah S.W.T:
Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya di atas banyak makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.
( Surah al-Isra : 70)
Sangat jelas firman daripada ALLAH S.W.T yang telah memberikan sebanyak kelebihan kepada manusia berbanding makhluk ciptaanNya yang lain. Namun, lantaran dek kerana nafsu yang menguasai diri, timbul rasa bangga dalam diri manusia hingga menafikan setiap apa yang dianugerahkan oleh ALLAH S.W.T. Mulalah hati manusia itu berubah untuk mengubah apa yang di kurniakan.
Tidak salah di sisi agama, bilamana wanita itu berhias tetapi haruslah menyedari bahawa hiasan itu untuk siapa dan tujuannya apa. Bila dilihat kembali, wanita kini sangat bergantung kepada kecantikan luaran. Rambut yang sudah cantik berwarna hitam, tiba-tiba sahaja berubah warnanya sehingga menjadi sekarat besi, kening yang cantik lebatnya, tiba-tiba sahaja menjadi halus sehalus bulu ayam, manakala hidung yang sudah indah bentuknya, tiba-tiba sahaja tinggi mancungnya. Apakah itu sudah menjamin kecantikan dan kebahagiaan buat diri wanita?
Bagaimana pula dengan kecantikan rohani yang sebenarnya menjadi segala pengukur kecantikan diri wanita? Kecantikan sebenar bukanlah hanya tertumpu kepada luaran tetapi juga dilihat melalui akal dan juga hati. Lebih tepat lagi adalah kecantikan yang lahir daripada keperibadian akhlak seseorang itu. Itulah kecantikan yang mampu memancarkan pesona dalam diri wanita.
Kecantikan juga merangkumi bilamana tutur bicaranya lembut dan sopan, akhlaknya mencontohi akhlak Rasulullah, pancainderanya digunakan untuk menyerap ilmu-ilmu Allah dan kecantikan luarannya di baluti dengan penuh rapi sehingga sukar ditembusi. Itulah kecantikan yang sangat mulia di sisi ALLAH S.W.T. Oleh itu, buat kaum hawa yang sangat indah ciptaannya, ingatlah bahawa wanita adalah hiasan dunia. Namun seindah hiasan adalah wanita yang SOLEHA.
mood: teringat akan nasihat ibu sewaktu saya masih kecil. " Wanita yang cantik adalah wanita yang menutup auratnya ( bertudung )"




0 comments:
Post a Comment